Sunday 17 June 2012

~ PULAU TAMBISAN ~

ASAL USULNYA....



Masih ramai lagi yang belum mengetahui akan kewujudan Pulau Tambisan. Pulau Tambisan terletak di Negeri Bawah Bayu,Sabah. Kedudukannya yang terpencil menjadi salah satu factor ianya tidak dikenali. Namun demikian, semakin maju sesebuah negeri, semakin terserlahlah segala yang tersembunyi selama ini, begitu juga dengan pulau Tambisan. Pulau Tambisan telah dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu, Tambisan Pulau, Tambisan Darat, Tagupi dan Sungai Nipah. Dan untuk makluman juga, suatu masa dahulu, Tambisan ini dibawah pemerintahan DUN Sukau, Parlimen dan Kinabatangan. Namun demikian, sewaktu pilihan raya 2004 , tampuk pemerintahan Tambisan ini telah pun bertukar ke kawasan DUN Tungku di bawah Parlimen P118 Silam sehingga sekarang. 

PEMBUKAAN PULAU TAMBISAN

Bulan Zulhijjah 1818, di zaman pemerintahan British, Sarabi bin Sakbani bersama 12 orang rakannya dari Kampung Libaran telah bertandang ke Pulau Tambisan. Sejurus mereka sampai ke Pulau tersebut, mereka telah membahagi-bahagikan tanah dan sekaligus membersihkan tanah tersebut. Setelah selesai membersihkan tanah tersebut, mereka kembali semula ke Kampung Libaran dengan tujuan mengambil benih kelapa pisang dan ubi kayu. Setelah itu, mereka kembali semula ke Pulau Tambisan untuk menanam benih-benih tersebut. Tanaman mereka subur dan akhirnya balik semula ke Pulau Tambisan. Namun demikian, beberapa tahun kemudian, para penduduk mengalami sakit yang berpanjangan. Oleh yang demikian, mereka mengambil keputusan untuk balik semula ke Kampung Libaran.

Selang beberapa tahun kemudian, Mandaring dan Imam Laja telah pergi ke Kepulauan Suluk , Filipina untuk mendapatkan bekalan beras. Namun sebelum itu, mereka telah singgah sebentar ke Tambisan untuk melihat hasil tanaman yang telah ditinggalkan. Namun demikian, hasil tanaman mereka yang menjadi menyebabkan niat mereka untuk ke Filipina terbantut lalu mengubah fikiran untuk balik ke Tambisan lalu melantik seorang ketua kampung yang bernama Panglima Tumikbi, masih dalam pemerintahan British. Ketua kampung, Panglima Tumikbi ke Lahad Dato untuk memohon pengesahan tanah yang telah mereka bahagi-bahagikan, di District Office.  Seorang Residen British, Rasdin Muji telah meluluskan permohonan tersebut.
Selepas Panglima Tumikbi meninggal dunia, Allahyarham diganti oleh Said bin Tahir. 1946, Jepun telah menyerah kalah kepada Australia. Pentadbiran Tambisan dikuasai oleh Australia. Namun tidak lama kemudian, British kembali mentadbir Tambisan lalu kerajaan British telah melantik seorang penduduk tempatan yang bernama Awalangsa bin Mantas sebagai kerani dan mata-mata ( polis ). Selain itu juga, British mula membina beberapa infrastruktur seperti balai polis yang bertiangkan kayu, beratap dan berdindingkan nipah.

 Kerani pertama yang dilantik di Pejabat Daerah Kecil Tambisan pada masa itu ialah kerani Jata anaknya yang benama Damim yang berasal dari Daerah Lahad Datu yang berpendidikan Darjah II dan atas usaha beliau membina sebuah sekolah di Tambisan dan mengajar seramai 22 orang pelajar dengan menulis di papan batu. Selepas kerani Jata ditukar beliau telah digantikan oleh Tun Sakaran Dandai ( Mantan TYT Sabah ). Selepas perkhidmatan Tun Sakaran Dandai, Tun telah digantikan oleh Sahari bin Tulis. Apabila Sahari bin Tulis ditukarkan ke Kinabatangan, beliau digantikan pula oleh kerani yang berasal dari Tatabuan yang bernama Agta. En. Agta telah bertukar kerja ke Marin Department sebagai Kapten. Beliau telah digantikan oleh En. Mohd Jamari dari daerah Lahad Datu. Apabila beliau meninggal dunia beliau digantikan oleh Mudreka bin Agil. Selepas tahun 90-an pejabat daerah kecil di tambisan dan kerani tidak diwujudkan lagi, tetapi bangunannya masih wujud sehingga hari ini.

Berbalik kepada perlantikan ketua kampung di Tambisan, selepas 4 tahun Panglima Ali menjadi ketua kampung, beliau telah digantikan oleh Ogi bin Amir Hassan, tetapi gelaran Panglima telah dimansuhkan dan digantikan dengan gelaran OT. Selang beberapa tahun OT Ogi bin Amir Hassan telah jatuh sakit dan mengalami lumpuh separuh badan ( Strok ). Oleh kerana kesihatan OT Ogi tidak mengizikan beliau menjalankan tugas, beliau telah digantikan oleh Mahiruddin Bin Haji Hussin iaitu bapa kepada Datuk Johar di masa pemerintahan kerajaan USNO. Semasa pilihanraya pada tahun 1976, USNO telah kalah kepada Parti Berjaya, oleh yang demikian, pertukaran kepimpinan dirombak, apabila Hj. Mahiruddin telah digantikan oleh Pendekar Nusur bin Mohd Sulani menjadi ketua kampung. Tidak lama selepas itu, Pendekar Nusur telah dinaikkan pangkat ke Ketua Anak Negeri. Tempat beliau telah digantikan oleh Hj. Ismail bin Mohd Gani. Hj. Ismail bin Mohd Gani pun telah dinaikkan pangkat ke Wakil Ketua Anak Negeri. Selepas itu, Imam Mansor bin Sarabi pula telah dilantik menjadi ketua kampung yang baru. Beliau memegang jawatan ketua kampung di Tambisan Pulau selama 15 tahun. Selepas Imam Mansor bin Sarabi ditamatkan perkhidmatan, beliau telah digantikan pula oleh Hj. Undin bin Oting. Selepas Hj. Undin meninggal dunia beliau telah digantikan pula oleh menantunya yang bernama Abd Wahab bin Ismani sehinggalah ke hari ini.
Semasa pemerintahan British, Tambisan Pulau adalah dibawah pentadbiran Daerah Lahad Datu. Ketua Anak Negeri Tungku yang pertama adalah Panglima Nalaja @ Buaya Bin Noh. Setelah pentadbirannya diambil alih oleh Sandakan, ketua anak negerinya pula telah digantikan oleh Arjani bin Abantas. Selang beberapa tahun, pentadbiran Tambisan Pulau telah diambil alih oleh Kinabatangan, setelah KAN Arjani meninggal dunia, Allahyarham pula digantikan oleh KK Nusur. Apabila KAN Nusur meninggal dunia, penggantinya ialah En. Moktar Bin Zakaria ada bertugas sekarang ini.

Perkembangan agama Islam di Tambisan bermula apabila seorang ulama dari Yaman telah berhijrah ke Sabah iaitu di daerah Sandakan. Beberapa tahun duduk di Sandakan, tuan guru mendengar khabar bahawa di Tambisan mempunyai tanah yang luas dan subur untuk bercucuk tanam. Oleh yang demikian, tuan guru telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Tambisan. Sepanjang tuan guru berada di Tambisan beliau telah membantu dan memperkembangkan ajaran Islam dan seterusnya mengajar orang-orang di kampung Tambisan mengaji Al- Quran, mengajar sembahyang, Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan berbagai-bagai lagi tuan guru ajarkan kepada penduduk kampung Tambisan.

Tambisan Pulau mempunyai sebuah balai Polis dan Sekolah Kebangsaan . Dalam tahun 2009 beberapa pemimpin telah datang ke Tambisan iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penolong setiausaha KPLB Sabah, Datuk Nasir Bin Tun Sakaran, menteri di Jabatan Ketua Menteri dan pelbagai lapisan pemimpin yang hadir bagi melihat sendiri suasana di Tambisan. Dan ini sudah tentunya akan membawa kepada pembangunan yang terancang dan seterusnya memberi manfaat kepada penduduk kampung Tambisan keseluruhannya.

TAMBISAN DARAT

Tambisan Darat telah dibuka oleh orang-orang tua yang terdiri dari penjaja, panglima-panglima yang membawa beberapa orang untuk membersihkan hutan dan dijadikan kebun. Pembukaan tanah di Tambisan Darat ini telah diketuai oleh Panglima Arak. Semasa pemerintahan Jepun, Panglima Arak telah berjuang mempertahanan tanah Tambisan Darat. Setelah Panglima Arak meninggal dunia, beliau telah digantikan oleh Panglima Gampal. Selepas pemerintahan Jepun, British telah mengambil alih pemerintahan dan melantik ketua kampung iaitu OT Lajja bin Malik. Apabila OT Lajja bin Malik meninggal dunia, Imam Mansor bin Sarabi menggantikan beliau sebagai ketua kampung selama 3 tahun sebelum Imam Mansor ditukarkan ke Tambisan Pulau. Menggantikan Imam Mansor di Tambisan Darat ialah Ahmad bin Abdul Hari semasa pemerintahan kerajaan PBS. Pada pilihanraya Negeri tahun 1994, tampuk pemerintahan berubah setelah kerajaan Barisan Nasional menang dalam pilihanraya tersebut. Kepimpinan bertukar dan ketua kampung Tambisan Darat telah digantikan oleh En. Abdul Majid Bin Tanbi dan menjadi ketua kampung sehinggalah hari ini.

SUNGAI NIPAH

Ketua kampung pertama bagi Sungai Nipah ialah Panglima Ali Bin Panglima Said. Seterusnya di gantikan oleh Ketua Kampung Maulana bin Panglima Ali

TAGUPI

Ketua kampung pertama bagi kampung Tagupi ialah Haji Omar bin Panglima Said, dan seterusnya diganti oleh Hussin Bin Abdullah. Selepas beberapa tahun, beliau diganti oleh Ketua Kampung Abd. Rahim Bin Haji Omar.

INFRASTRUKTUR

Tambisan Pulau memiliki beberapa infrastruktur yang memberikan kemudahan yang diperlukan oleh para penduduk, antaranya sekolah rendah dan sekolah tadika yang bertujuan mendedahkan anak-anak penduduk mendapat pendidikan, balai polis yang ditubuhkan bagi mengawal keselamatan para penduduk, surau sebagai tempat beribadat bagi penduduk yang beragama Islam, dan mini dewan yang berperanan pelbagai guna bagi.
Tambisan Darat pula memiliki infrastruktur seperti hospital, bangunan ko nelayan untuk perikanan, padang futsal, surau dan balai kafa sebagai tempat anak-anak penduduk mendapat pendidikan tentang Islam. Baru-baru ini, Tambisan darat juga telah mendapat peruntukan masjid yang bernilai RM25000 yang bakal dibangunkan di kampung Semuning, Tambisan Darat. Tambahan lagi, Tambisan Darat memiliki sebuah jeti untuk kemudahan anak-anak kampung menyeberangi keTambisan Pulau bagi mendapatkan pendidikan.
Dan seterusnya ialah Sungai Nipah telah mendapat satu peruntukan untuk membangunkan sebuah masjid yang bakal dibina dengan kos bernilai RM20000 bagi mengantikan surau yang telah uzur. Selain itu, Kampung ini mempunyai sebuah balai raya dan jambatan untuk keperluan masyarakat kampung.

Kampung Tagupi pula hanya memiliki sebuah surau dan balai raya.
Untuk makluman juga, pada masa ini pulau Tambisan juga tengah sibuk menguruskan beberapa projek yang diberi bagi menaiktaraf hidup penduduk. Antaranya, projek membina jambatan di Kg Baru dibawah peruntukan Kementerian Luar Bandar, projek Jambatan Perikanan di Kg Baru yang dikelola oleh Jabatan Perikanan, projek air tangki juga turut dibekalkan bagi memudahkan kampung mendapat air bersih, projek pembinaan menara PJA, projek pembinaan Menara Sykt. Telekomunikasi Celcom/ Maxis, projek pembinaan menara askar dan kem tentera yang bagi mengesan penyeludupan senjata haram di Perairan Tambisan, projek pemasangan tenaga solar juga akan ditubuhkan bagi membekalkan bekalan elektrik di kampung ini, dan projek pembinaan gelanggang sukan serbaguna yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Hj Dr Salleh Hj Kalbi Ahli Parlimen.

PURATA PENDUDUK KAMPUNG

Pada masa kini, penduduk kampung Tambisan melebihi 280 orang dan anggaran terdapat lebih 50 buah rumah. Sungai Nipah memiliki 47 buah rumah dan memiliki 241 penduduk. Tagupi memiliki 56 buah rumah dan seramai 360 orang penduduk dan seterusnya tambisan darat memilik 78 buah dan 487 penduduk. ADUN dan Parlimen P118 Silam telah memberikan bantuan kecemasan kepada para penduduk yang menghadapi masalah atau mangsa bencana alam.

90% penduduk kampung ini adalah nelayan, 5% pula peniaga kecil-kecilan/ kedai runcit. Manakala, 5% lagi adalah guru. Selain daripada itu, terdapat juga penduduk yang memiliki kolam ikan, berkebun, menanam sawit , memelihara lembu dan kambing, berjual kuih muih, minyak kelapa dan sebagainya. Antara suku kaum yang terdapat di kampung ini ialah Bugis, Suluk, Cina dan lain-lain.

Peraiaran Tambisan kaya dengan hasil lautnya. Ianya terletak menghala ke laut besar sempadan Negara Filipina yang kini menjadi tumpuan para kaki pancing dan peniaga ikan. Hal ini kemungkinan disebabkan factor iklim dan persekitaran laut yang masih belum tercemar.
Ramai masih yang belum mengetahui bahawa kampung tambisan juga merupakan tempat matahari terbit, terutama Kampung Atiam. Ini merupakan satu tarikan yang menarik yang masih belum diketahui ramai.


PETA SABAH



MATAHARI TERBIT

TAMBISAN.. SUATU MASA DAHULU

JALAN YANG BELUM DINAIK TARAF

PINTU GERBANG TAMBISAN

JALAN TUNGKU UNTUK KE TAMBISAN

AKTIVITI PARA PENDUDUK.. HASIL PENDAPATAN

PERUMAHAN PENDUDUK PULAU TAMBISAN

SURAU 

YB MELUAHKAN MASA BERSAMA ANAK-ANAK SEKOLAH

PEJABAT KECIL

TITIK PERMUALAAN SEBENAR MATAHARI TERBIT.. TANJUNG ATIAM

1 comment:

  1. 1. boleh tak tunjukkan lokasi Tambisan Pulau, Tambisan Darat, Tagupi dan Sungai Nipah?

    2. 90% penduduk adalah nelayan. so, kebanyakan rumah adalah berhampiran laut?

    thanks.

    ReplyDelete